Pembinaan sistem pembentungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan yang dilaksanakan oleh Jalur Cahaya Sdn Bhd tahun lalu.

KUANTAN – Warga Kuantan boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja pembinaan sistem pembentungan yang menjadi punca kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya ini dijangka siap pada akhir tahun ini.

Pengurus Projek Jalur Cahaya (JC) Sdn. Bhd., Ir. Md Razali Mohamed berkata, pihaknya kini sedang berusaha menyiapkan baki tiga peratus pembinaan, membabitkan 20 meter sistem pembentungan yang terletak di Jalan Teluk Sisek, di sini.

“Ini (belum siap) melibatkan Jalan Teluk Sisek sahaja. Kebanyakan kawasan lain sudah siap. Kontrak bagi keseluruhan jajaran projek sepanjang 70 kilometer (km). Secara keseluruhan boleh dikatakan 97 peratus siap,” katanya, di sini, hari ini.

Ir. Md Razali Mohamed

Ketika ditanya mengapa projek tersebut mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan, Razali berkata, pihaknya berdepan beberapa halangan.

“Lambat kerana ‘heavy underground water’. Tekanan air bawah tanah sangat tinggi dan kuat. Itu yang melambatkan kerja kita. Setiap kali kita buat kerja mengorek, air akan masuk dan setiap kali kita baik pulih, air akan masuk balik.

“Kita berharap agar cuaca menyebelahi kita juga. Kerana kalau banjir sampai tak boleh buat kerja, itu di luar kawalan kami dan ia pasti akan menangguhkan tempoh siap,” jelasnya.

Menurut Razali, pihaknya akan memastikan jalan tersebut akan dibuka semula pada awal tahun depan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang yang hadir di tapak pembinaan berharap warga Kuantan bersabar menantikan projek terbabit siap.

Beliau yang mengakui menerima banyak aduan terutama daripada penduduk di sekitar kawasan pembinaan memberi jaminan permasalahan itu akan diselesaikan segera.

“Disebabkan itu, hari ini saya di sini bagi mendapat penjelasan situasi semasa. Menerusi penjelasan daripada mereka, baharulah kita tahu bahawa terdapat sedikit masalah melibatkan kira-kira 20 meter di sini,” katanya.

ADUN Teruntum, Sim Chon Siang

Tambah Sim, ramai pengguna jalan raya, terutama dari luar kawasan, tidak tahu terdapat jalan alternatif disediakan.

“Saya harap jika ada lagi sesiapa mempunyai masalah dengan JC, boleh hubungi saya di 012-9818819. Saya akan bawa aduan anda kepada pihak JC untuk mencari penyelesaian.

“Ada orang kata, ada jalan raya yang diturap JC tidak sekata dan berlaku mendapan di sesetengah kawasan, boleh juga buat aduan kepada saya dan saya akan maklumkan kepada mereka,” katanya.

Menerusi laporan dan aduan yang diterima, kata Sim, ia dapat menjaga keselamatan pengguna jalan rasa khususnya penunggang motosikal. – MalaysiaGazette