GEORGE TOWN – Stok bekalan darah di Hospital Pulau Pinang (HPP) mencatatkan penyusutan sehingga menimbulkan kebimbangan kekurangan bekalan pada masa akan datang. 

Pegawai Penerangan Jabatan Perubatan Transfusi HPP, Lina Diyana Ibrahim berkata, bekalan darah yang berkurangan pada ketika ini ialah jenis B positif, O positif dan O negatif.

Katanya, keperluan bekalan darah berkenaan juga disebabkan permintaan yang tinggi bagi merawat pesakit di hospital berkenaan.

“Bekalan darah berkurangan sejak awal November lalu dan diharap ia dapat di atasi segera bagi memenuhi keperluan pesakit pada masa ini.

“Pihak kami menyeru penderma darah hadir bagi meningkatkan kembali stok darah ke paras selamat dan optimum.

“Bekas pesakit Covid-19 juga boleh menderma darah selepas 10 hari bebas daripada gejala dan memastikan diri benar-benar sihat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Lina Diyana berkata, selain tampil ke Pusat Tabung Darah yang dibuka setiap hari, orang ramai juga boleh datang ke beberapa lokasi kempen bagi menderma darah.

“Hari ini kempen dijadualkan berlangsung di Lotus Egate, Georgetown pada jam 10 pagi hingga 3.30 petang, diikuti di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Balik Pulau pada 3 Disember (10 pagi hingga 4 petang) dan Wisma Hui Yen Seil Paya Terubong pada 4 Disember pukul 9 pagi hingga 1 petang,” ujarnya. – MalaysiaGazette