Idres (kanan) bersama peguamnya, Nik Saiful Adli Burhan selepas Mahkamah Kota Bharu membebaskannya.

KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Jasmani dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, di sini, hari ini daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Idres Ismail, 54, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan ditahan di sebuah stesen minyak sekitar Kota Bharu dalam Ops Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2015.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara boleh sampai dua tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Muhammad Fitri Mokhtar di akhir kes pendakwaan selepas pihak pendakwaraya memanggil lima saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

Muhammad Fitri ketika membacakan keputusan kes menyatakan, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan atas alasan terdapat percanggahan kenyataan saksi pendakwaan yang menyebabkan kes tiada prima facie.

Selepas keputusan itu, Idres memberitahu akan terus berkhidmat sebagai guru seperti biasa dan menganggap kes berkenaan sebagai ujian baginya.

Beliau berharap kes itu tidak menjadikan masyarakat memandang serong terhadapnya sebagai seorang pendidik.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili Peguambela Nik Saiful Adli Burhan. – MalaysiaGazette