Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail melepaskan ketulan abu Al-Quran yang telah dikeringkan ke dalam laut ketika Program Pemuliaan Al-Quran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan Kerjasama Jabatan Laut Malaysia ketika di Perairan Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama beberapa agensi menyempurnakan aktiviti pelepasan sebanyak 6.8 tan abu Al-Quran ke laut petang semalam.

Plastik dan guni berisi ketulan abu Al-Quran yang telah dilepaskan ke dasar laut akan dibasuh serta disimpan untuk mengelakkan dari pencemaran ketika Program Pemuliaan Al-Quran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan Kerjasama Jabatan Laut Malaysia ketika di Perairan Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2022.

Pegawai dan kakitangan JAWI turut dibantu kru kapal Pedoman melepaskan ketulan abu al-Quran yang telah dikeringkan ke dalam laut.

Ia dilaksanakan ketika Program Pemuliaan Al-Quran JAWI dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia di perairan Pulau Indah, Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail (kanan) bersama Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib (tengah) melihat ketulan abu Al-Quran yang telah dikeringkan sebelum dilepaskan ke dalam laut ketika Program Pemuliaan Al-Quran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan Kerjasama Jabatan Laut Malaysia ketika di Perairan Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2022.

“Al-Quran mesti dipelihara kesuciannya pada setiap masa walau di mana-mana jua berada,” kata JAWI menerusi hantaran di Facebooknya.

Sementara itu Bernama melaporkan, pelepasan abu itu merupakan proses pemuliaan al-Quran selari dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30.

Program itu merupakan tindakan proaktif JAWI dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kaedah pemuliaan al-Quran yang betul.

Ia sekali gus memelihara kesucian ayat-ayat suci al-Quran pada setiap masa. – MalaysiaGazette