Tommy
Tommy Thomas bersalaman dengan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau memegang jawatan Peguam Negara dalam kerajaan PH.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas diminta mengulas tentang titah Majlis Raja-raja yang mahu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bebas daripada pengaruh Perdana Menteri.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak mendakwa, Dr. Mahathir dan Tommy telah berulang kali melanggar Akta JAC untuk melantik hakim-hakim pilihan mereka.

“Jangan terus buat-buat tak nampak titah Majlis Raja-raja semalam serta laporan panel siasatan khas ke atas Tommy yang didedahkan dua bulan lalu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam perutusan Pengerusi Mesyuarat Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

Baginda mencadangkan agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri dan sebaliknya diberikan kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Pada 30 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.

Beliau mengeluarkan arahan itu selepas Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, tulisan Tommy membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Ismail Sabri berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette