Farah Munirah Zahari dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 11 pakaian termasuk seluar dalam lelaki di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.

MELAKA – Seorang ibu kepada tiga anak dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebanyak 11 pakaian termasuk seluar dalam lelaki berjenama di sebuah pusat beli-belah minggu lalu.

Majistret Sharda Shiena Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farah Munirah Zahari, 34, yang membuat pengakuan salah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri tiga kotak seluar dalam lelaki jenama Renoma, tujuh helai seluar jenama Vior Jeans, Kickers dan Polo Hous serta sehelai singlet jenama Renoma.

Kesemua barangan itu keseluruhannya bernilai RM1,256.60 milik pasar raya Aeon Bandaraya Melaka dan kesalahan dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang 24 November lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya dipenjara dan boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai tiga anak yang masih kecil termasuk seorang yang masih bayi.

Dalam rayuannya itu, tertuduh menangis apabila memberitahu ibunya turut mengidap penyakit kanser dan perlu menjalani rawatan kimoterapi selain suami yang tidak bekerja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaiamanpun memohon agar hukuman setimpal mengambil kira tertuduh mempunyai dua rekod lampau pada 2018 dan 2019 membabitkan kesalahan sama.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sharda Shiena kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap pada 24 November lalu.

“Farah Munirah mahkamah hendak ingatkan kamu matlamat tidak menghalalkan cara walau apa sekalipun dan kamu kena ingat Malaysia ini ada undang-undang.

“Apa yang kamu buat dan kesalahan lampau kamu pun tidak boleh diterima dan saya harap dengan hukuman yang mahkamah berikan ini kamu boleh ambil iktibar dan tidak mengulanginya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003) dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38(B) akta sama atas kesalahan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis heroin pada hari ditangkap.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Januari tahun hadapan bagi laporan patalogi dan membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette