KUALA LUMPUR – Mulai 5 Disember tahun ini, CIMB Bank Bhd, bersama CIMB Islamic Bank Bhd, akan menghapuskan kebenaran SMS TAC untuk transaksi perbankan dalam talian.

Sebagai gantinya, ia akan melaksanakan kebenaran SecureTAC mandatori untuk transaksi Web CIMB Clicks sebanyak RM100 dan ke atas, termasuk pemindahan dana bukan kegemaran, pembayaran bil dan tambah nilai prabayar.

“Pelanggan tidak lagi boleh menerima SMS TAC untuk transaksi ini. Sebaliknya, mereka perlu muat naik CIMB Clicks App dan meluluskan urus niaga melalui SecureTAC.

“CIMB bercadang melanjutkan pengesahan SecureTAC untuk memasukkan sebarang transaksi bernilai RM100 dan ke bawah, sebagai urus niaga bukan kewangan, menjelang separuh pertama 2023,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, CIMB menggesa semua pelanggan yang memuat turun CIMB Clicks App supaya berbuat demikian dan membuka notifikasi bagi Tetapan untuk menerima SecureTAC.

Selain itu, mulai 26 Disember, pengguna baharu atau pengguna sedia ada yang daftar masuk ke CIMB Clicks dan CIMB OCTO Apps pada peranti baharu akan menjalani proses pengesahan panggilan untuk memastikan sebarang percubaan log masuk kali pertama atau perubahan peranti dimulakan oleh pemegang akaun.

“Apabila daftar masuk kali pertama dilakukan, pelanggan dikehendaki menghubungi Pusat Hubungan Pengguna CIMB yang tersedia 24/7 di talian +603-6204 7788 untuk mengesahkan pendaftaran mereka pada peranti baharu dan mengekalkan akses mereka.

”Sebagai alternatif, bank juga akan berusaha untuk menjangkau pelanggan untuk pengesahan dalam tempoh 24 jam sejak akses pertama daripada peranti baharu,” kata CIMB Bank.

Jika pelanggan tidak dapat dihubungi dalam masa 24 jam selepas daftar masuk kali pertama mereka, atau jika proses pengesahan tidak dapat diselesaikan, ID CIMB Clicks mereka akan dinyahaktifkan sebagai langkah berjaga-jaga keselamatan.

Tambahnya, ia merancang untuk meningkatkan lagi proses pengesahan menjelang separuh pertama 2023 dengan melaksanakan keperluan wajib bagi pelanggan untuk menghubungi bank semasa mengaktifkan akaun mereka terlebih dahulu sebelum mereka boleh mula menggunakannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, bank itu komited untuk melaksanakan langkah keselamatan yang ketat untuk melindungi pelanggan daripada penipuan, selaras dengan arahan Bank Negara Malaysia mengenai langkah tambahan untuk mengukuhkan keselamatan perbankan bagi memerangi aktiviti tersebut.

“Kami percaya ia adalah langkah perlu ke arah mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat dan CIMB akan terus memperkenalkan langkah tambahan secara progresif bagi mengurangkan lagi risiko penipuan dan memastikan pelanggan boleh berurus niaga dengan tenang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette