Ng Sze Han

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memutamadkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang pada 2020.

Bagaimanapun, laluan baharu itu melibatkan bahagian utara Selangor, bukan seperti yang dicadangkan kerajaan PH untuk pembinaan ECRL di bahagian selatan negeri tersebut sebelum ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han, cadangan pembinaan projek ECRL di bahagian selatan Selangor yang dibatalkan itu dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk cadangan laluan rel yang lain, sekiranya mendapat pertimbangan kerajaan pusat.

Beliau berkata, projek ECRL yang kini dalam pembinaan melibatkan dua jajaran iaitu C1B bagi daerah Gombak dan C2 melibatkan daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

Katanya, keluasan keseluruhan tanah bagi projek sepanjang 90.27 kilometer (km) di Selangor itu ialah 758.47 hektar.

Jelas beliau, keluasan tanah bagi jajaran C1B di Gombak adalah 180.4 hektar manakala C2 untuk Gombak (158.3 hektar), Klang (131.8 hektar), Kuala Selangor (118.7 hektar) dan Hulu Selangor (169 hektar).

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) telah meluluskan secara dasar pengesahan jajaran ECRL bagi Seksyen C1B dan C2 di Selangor.

“MKN juga bersetuju bahawa cadangan awal jajaran dan stesen Seksyen C1B dan C2 diteruskan dengan permohonan rundingan di bawah 20A Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 Akta 172.

“Selepas pewartaaan bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, permohonan awal jajaran ECRL Seksyen C1B dan C2 boleh dirunding bawah Jawatankuasa Perancang Negeri mengikut Seksyen 20A Akta 172,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menurut Sze Han, bagi pengambilan tanah bawah tanah, kerajaan negeri belum mempunyai sebarang kaedah.

Justeru, katanya, untuk masa ini, kaedah itu boleh dilakukan secara pengambilan biasa. – MalaysiaGazette