Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Dasar larangan penggunaan beg plastik yang dilaksanakan kerajaan Selangor di semua premis perniagaan pada 2018 masih lagi relevan, kata Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian.

Katanya, larangan itu melibatkan tujuh hari seminggu dengan pengguna yang mahu mendapatkan beg plastik akan dikenakan bayaran.

“Kita laksanakan dasar ini bagi memastikan usaha kerajaan untuk menjaga alam sekitar dan kesihatan rakyat terjamin.

“Ini dapat dilihat dengan pelaksanaan beberapa inisiatif oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan juga bahayanya plastik kepada kehidupan.

“Program dan kempen ini telah diadakan bagi memastikan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar yang menggunakan peruntukan di bawah seliaan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha mempromosikan pembangunan lestari dengan mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam.

Sebab itu katanya, isu larangan penggunaan plastik itu merupakan perkara yang perlu ditangani secara holistik oleh semua pihak.

“Kempen hari tanpa plastik telah dimulakan Selangor sejak Januari 2010 dengan pelaksanaan pada hari terpilih iaitu setiap Sabtu.

“Namun, kempen ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan hari tanpa beg plastik selama tujuh hari seminggu.

“Kempen ini masih diteruskan di seluruh Selangor dengan pelaksanaan kutipan beg plastik oleh premis perniagaan dan penguatkuasaan dilaksanakan setiap hari di semua premis perniagaan zon Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette