Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengakui kerja inventori berhubung jalan, longkang, parit dan kolam tadahan di negeri itu belum diatasi sepenuhnya di beberapa daerah.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Ir. Izham Hashim berkata, ini disebabkan proses untuk penyelarasannya agak rumit kerana memerlukan inventori yang sangat besar daripada segi peraturan dan bajet.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan jika ada laporan berhubung tempat yang sangat kritikal yang memerlukan tindakan segera.

“Kerja-kerja ini akan dilakukan secara berkala dan melihat kepada keperluan yang mendesak atau keutamaan mana dulu kita akan buat.

“Saya dimaklumkan, hanya satu daerah saja yang siap iaitu Kuala Selangor manakala daerah lain belum siap dari segi pengurusan berhubung longkang dan parit, jalan dan kolam takungan yang tidak bertuan,” katanya pada sidang DUN di sini hari ini.

Beliau memberi contoh, Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya mengurus longkang jalan yang bersaiz lebar 1.2 meter sahaja.

Katanya, longkang yang besar atau melebihi saiz itu tidak akan diuruskan oleh JKR kerana tertakluk persekutuan bukan negeri.

“Apabila ada longkang yang sebahagiannya seperti tidak diurus kerana lebih daripada saiz 1.2 meter, itu bermaksud longkang tidak bertuan.

“Sebaliknya, perkara itu perlu ada penyerahan laporan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk dirujuk kepada JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun perkara ini sedang dalam perincian pihak kerajaan negeri yang kita lakukan berperingkat,” katanya. – MalaysiaGazette