Foto Instagram Nad Zainal.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Nad Zainal menunjukkan perkembangan positif apabila kini sudah boleh bercakap dan memegang telefon selepas hampir dua minggu ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan rakan baiknya, Ungku Ismail atau nama sebenarnya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz menerusi satu perkongsian video dalam Instagram malam tadi.

“Doktor dah berjaya keluarkan mesin pernafasan. Sekarang dia gunakan pernafasan yang biasa tapi kuat dengan airbag. Kuat bunyinya.

“Bagaimanapun, dia masih di dalam ICU. Dah boleh bercakap, suara dia sangat-sangat perlahan dan serak, susah saya nak dengar.

“Dari segi pergerakan, dia dah boleh pegang telefon tapi masih tak boleh taip. Masih perlukan rawatan fisiologi lagi,” katanya.

Sementara itu, Ungku, 36, memberitahu, keadaan jari-jemari Nad kini berada dalam keadaan kaku disebabkan lama ditidurkan dan tidak berfungsi seperti kebiasaan.

“Sepertimana orang normal buat (bernafas), begitulah kita nak kembalikan Nad ke arah tersebut. Kita doa sama-sama Allah SWT permudahkan urusan dia.

“Berikan dirinya kesembuhan dan apa sahaja yang menyakitinya sekarang,” ujar Ungku yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Teman Lelaki Upahan.

Pada 22 November lalu, media melaporkan Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.

Demi meringankan beban kewangan ditanggung Nad, satu tabung kecemasan ditubuhkan sejak empat hari lalu untuk membantu kos perubatan dramatis hebat itu dan kini hampir mencecah kutipan sebanyak RM70,000.  – MalaysiaGazette