M Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mahu setiap pihak menerima serta menyokong kerajaan perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, barisan jemaah mentari yang dimumkan Jumaat lalu mempunyai wakil dari semua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang akan menyatukan padukan misi dan visinya.

“Fokus Kabinet ini juga untuk membina kembali negara ini selepas apa yang kita telah lalui lebih dua tahun kebelakangan ini.

“Ini bukanlah kerajaan PH sebaliknya kerajaan perpaduan yang merangkumi semua, kita semua perlu fahami perkara sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kula Segaran menggesa semua pihak terutamanya penyokong beliau supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

“Saya juga mahu semua untuk memberikan sokongan kepada Sivakumar yang baharu sahaja dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia yang juga merupakan antara salah satu Kementerian cukup penting di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, Sivakumar mempunyai pengalaman politik yang luas dalam mengemudi  kementerian itu dan beliau sedia membantu sekiranya bantuan diperlukan.

Sivakumar yang juga merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Kula Segaran. – MalaysiaGazette