Mujahid Yusuf.-Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar sebagai Menteri Agama yang baharu diharap dapat mengurangkan serangan ‘penunggang agama’ terhadap pentadbiran Islam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, jawatan itu sering menjadi serangan ‘penunggang agama’ untuk membuktikan siapa yang lebih Islam dan lebih Melayu.

“Kita dapat lihat eksploitasi agama ditunggang secara maksima dalam isu Tabung Haji di mana isu asalnya hanyalah soal pentadbiran dan penstrukturan semula yang berkaitan soal “corporate governance“.

“Tapi lihatlah pihak yang bermotifkan politik menjadikannya isu agama sempit sehingga melahirkan kebencian dan permusuhan atas premis tidak membela Islam.

“Naratif ini diselaputi fitnah, pembohongan kebencian sehingga fakta ditutup dengan penguasaan fitnah dan pembohongan ke atas isu, tiada objektiviti!” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Mujahid juga berharap Mohd Naim akan meneruskan dasar ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa beliau ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Mujahid berkata, rangka kerja dasar tersebut sudah disediakan dan hanya tinggal untuk dilaksanakan.

“Saya mendoakan perlantikan ini membawa kesan terbaik untuk kepentingan umat Islam khususnya dan pentadbirannya di Malaysia umumnya.

“Saya turut mengharapkan dasar Gagasan Negara Rahmah yang tertangguh perlaksanaan penuhnya dapat diteruskan kerana semua blueprint sudah pun tersedia untuk dilaksanakan.

“Dasar rahmatan lil alamin perlu menjadi bukti kejayaan Islam di Malaysia kepada mata dunia,” ujarnya.

Katanya, Mohd. Naim yang menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di bawah pentafbiran PH sangat arif dengan hasrat reformasi pentadbiran Islam.

Mujahid yakin hubungan baik Mohd. Naim dengan pihak istana khususnya dengan Sultan Selangor juga akan memudahkan urusan beliau sebagai menteri.

Mohd. Naim bakal memikul tugas lebih mencabar dalam mengendalikan hampir 17 agensi di bawah Hal Ehwal Islam Persekutuan termasuk Tabung Haji.

Buat julung kalinya Ketua Hakim Syarie diberi kepercayaan menjadi menteri Kabinet di bawah pentabiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu bukanlah nama asing dalam kalangan pengamal undang-undang. – MalaysiaGazette