Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan Suratan Hak Milik kepada 132 peneroka di Dataran Wisma Felda Selendang 2, Rompin.

ROMPIN – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM300,000  untuk menaik taraf surau di Felda Selendang 2, di sini, yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM200,000 akan disumbang Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)  bagi projek tersebut.

“Saya difahamkan penduduk di sini menghadapi kesukaran untuk menunaikan Solat Jumaat akibat surau yang terletak di kampung ini kecil serta tidak mampu menampung jumlah jemaah yang turut melibatkan penduduk dari Selendang 3, 4 dan 5.

“Semoga dengan peruntukkan itu dapat mengimarahkan aktiviti dakwah dan memberi kelesesaan di kalangan jemaah Surau Felda Selendang 2,” katanya selepas menyampaikan Surat Hak Milik kepada 132 peneroka di Dataran Wisma Felda Selendang 2, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mengambil alih usaha membaik pulih 10 tapak projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai yang  melibatkan usahasama antara pemaju swasta dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

Katanya, projek terbabit melibatkan 1,850 buah rumah pada harga RM120,000 sebuah yang akan dijual kepada generasi baharu Felda. – MalaysiaGazette