Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli ketika bercakap pada sidang media pada hari pertama memulakan tugas di Menara Prisma, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 DECEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Razifi Ramli menafikan mahu mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalah tafsir kerana beliau tidak bermaksud mahu mengambil tindakan terhadap Azam sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

“Saya tidak fikir itu yang saya maksudkan. Saya fikir ia satu petikan politik atau berita tetapi apa yang saya maksudkan ialah sekiranya kerajaan baharu mengambil alih dan kita telah pun, keutamaan sebenar menjadikan segala-galanya bebas dan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang media pertama selepas dilantik sebagai menteri di pejabat rasminya di sini hari ini.

Rafizi sebelum itu ditanya adakah beliau masih mahu meneruskan hasrat mengambil tindakan terhadap Azam kerana PH telah pun berjaya menjadi kerajaan.

Rafizi berkata, kenyataan yang dilemparkannya bukan hanya peringatan terhadap Azam tetapi juga kepada semua orang termasuk dirinya.

“Kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita lakukan kerana kita akan memastikan tiada campur tangan terhadap semua institusi. Kebebasan institusi semak dan imbang berfungsi, maka semua orang perlu berada di landasan yang betul.

“Undang-undang akan berjalan dengan adil sebaik sahaja kita (ada)  kebebasan (institusi) sepenuhnya dan itu adalah peringatan kepada semua orang,” kata Rafizi.

Media pada 17 November lalu melaporkan Rafizi berkata, selepas PH menang parti itu akan ‘mencari’ Azam.

Rafizi mengeluarkan kenyataan itu dalam sebuah ceramah mega di Johor Bahru selepas SPRM melakukan serbuah ke atas syarikannya Invoke Solutions Sdn Bhd.

Rafizi berkata dia pada mulanya tidak mahu campur tangan dalam serbuan pertama SPRM di Invoke tetapi peguam kemudiannya ditugaskan selepas tuntutan lanjut dibuat untuk dokumen yang mengandungi maklumat sulit milik pelanggan Invoke.

Katanya, SPRM mesti mendapatkan perintah daripada mahkamah atas permintaan untuk merampas dokumen yang dilindungi oleh klausa kerahsiaan. – MalaysiaGazette