CPTPP Anwar
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Rakyat akan rugi sekiranya kerajaan tunduk terhadap tekanan pihak tertentu yang mahu Malaysia menarik diri Perjanjian Perdagangan Bebas Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pentadbiran terdahulu mengambil tindakan yang tepat dengan meratifikasi CPTPP yang dijangka memberi akses ke pasaran baharu seperti Mexico, Peru dan Kanada.

Menurut beliau, menerusi CPTPP, nilai jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat ke RM3.05 trilion pada 2030 manakala eksport negara pula akan mencecah RM1.65 trilion pada tahun yang sama.

“CPTPP akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat, termasuklah kepada rakyat Tasek Gelugor yang mana saya adalah Ahli Parlimen mereka.

“Ramai warga Tasek Gelugor bekerja di kawasan perindustrian berhampiran. Kemasukan pelaburan baharu, pemindahan teknologi baharu dan peluang mempertingkat kemahiran tenaga kerja melalui CPTPP sudah pasti akan membolehkan warga Tasek Gelugor mendapat pendapatan lebih tinggi di masa depan. Inilah manfaat daripada perdagangan dan sistem ekonomi pasaran.

“Jika penyertaan Malaysia dalam CPTPP dibatalkan, yang rugi bukan saja warga Tasek Gelugor, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, desakan agar Malaysia menarik diri dari CPTPP dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan aliran kiri yang antiperdagangan.

Beliau menambah, mereka berselindung di sebalik pelbagai hujah seperti memerlukan libat urus dan kajian serta mahu mengelakkan amalan berat sebelah.

“Tetapi ini semua adalah alasan ciptaan sahaja. Sebenarnya semua alasan ini sengaja dicipta untuk menutup hakikat bahawa sikap mereka itu berakar umbi dari falsafah ekonomi kiri yang antiperdagangan terbuka dan antiekonomi pasaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette