Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana berjaya menyelamatkan parti ini daripada kehancuran selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebagai ia satu pengiktirafan yang memberi makna besar bukan saja kepada Presiden UMNO itu tetapi juga kepada parti.

Menurutnya, sebagai parti yang kalah dan mahu jadi pembangkang, Zahid membawa UMNO/BN dalam kerajaan dan seterusnya enam wakil parti diangkat sebagai menteri.

”Ia satu kemenangan moral kepada parti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Nur Jazlan mengakui kedudukan Zahid cukup sukar kerana Presiden UMNO itu melalui jerih-perih dalam perjalanan karier politiknya – dua kali ditekan dan banyak kali dia ditikam dalam dari dalam orang-orang UMNO dan bekas orang UMNO yang sama.

Tapi Zahid tetap tabah mengharungi sepak terajang politik.

”Bukan sikit orang yang pernah dia tolong dan bantu naik dalam politik dan parti tapi ramai juga yang jadi musuh dalam selimut kepada Zahid.

”Tak kurang juga yang mahu membunuh karier politik Zahid sejak awal dulu dengan bermacam-macam taktik kotor tapi dia bukan calang-calang politikus. Ilmu seni politiknya cukup tinggi dan kebanyakan serangan ke atasnya dapat dia tangkas dengan tangkas,” tambah beliau yang mengumpamakan Pengerusi BN itu sebagai pemimpin ikan kering kerana boleh jika dicampak dalam air pun masih boleh hidup semula.

Katanya, jangan lupa Zahid juga yang menyelamatkan UMNO daripada dikuburkan oleh bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nur Jazlan berkata, jika bukan kerana Zahid tamakkan kuasa dan hanya fikir kepentingan diri, tahun 2018 mungkin menjadi sejarah tamatnya riwayat UMNO.

”Tapi Zahid berpendirian tegas dan hidup berpegang kepada prinsip perjuangan. Biarpun diberikan pelbagai tawaran oleh Mahathir supaya bubarkan UMNO selepas PRU14 lalu, Zahid tolak. Dia sayangkan UMNO lebih dari dirinya. Dan padahnya, Zahid jadi mangsa. Zahid jadi mangsa pendakwaan terpilih kerana tolak kehendak Mahathir.

”Pendek kata nasib Zahid sama macam Anwar dan Najib, kerana tak ikut cakap seorang tua, mereka ditekan dan ditikam. Anwar, Zahid , Saifudin Nasution dan Zambry merupakan rakan satu pasukan tahun 1996 dulu dan dianiaya Mahathir masa Anwar dipecat pasal Reformasi tahun 1998 dulu.

”Akhirnya betul kot cakap bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor yang menyatakan bahawa Mahathir akan hidup lama untuk melihat legasi politik nya dimusnahkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. UMNO, BN patut MALU berterima kasih pada Zahid KERANA TERGADAI MARUAH DAN PRINSIP

    ZAHID DAN SEKUTUNYA TELAH MELUMATKAN PARTI KERAMAT PADA PRU15

Comments are closed.