KUALA LUMPUR – Abang kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassi meninggal dunia hari ini.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin yang juga mantan Ahli Parlimen Muar meninggal pada usia 90 tahun.

Perkara berkenaan dikongsikan menerusi Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebentar tadi.

Abdul Aziz merupakan anak kedua daripada 10 orang adik-beradik.

Sementara itu, Muhyiddin meluahkan rasa dukacitanya terhadap pemergian abangnya itu menerusi hantaran di Instagram.

Beliau menyifatkan Abdul Aziz sebagai abang yang banyak membantu dan memberinya sokongan.

“Saya kehilangan seorang abang yang banyak membantu kehidupan saya di zaman muda dan sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan Allahyarham dalam kalangan orang soleh,” katanya.- MalaysiaGazette