Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendedahkan parti mana dalam Perikatan Nasional (PN) yang menerima dana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) daripada syarikat perjudian.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mahu kerajaan menjalankan siasatan dan terus mengemukakan bukti bagi pendakwaan di mahkamah.

Katanya, Anwar seharusnya mengumumkan secara jelas mengenai perkara itu bukan berselindung di sebalik ungkapan “difahamkan” atau “membayangkan” sebagaimana dinyatakan oleh beliau pada sidang medianya.

“Sebagai Perdana Menteri dia (Anwar) tidak perlu berimaginasi, tak perlu berfantasi. Hal ini kerana kamu (kerajaan) ada semua agensi yang boleh melaksanakan forensik audit.

“Tapi, kalau tak ada, jangan buat fitnah dan persepsi.

“Ini satu pemikiran ‘luar biasa’ di mana seorang Perdana Menteri boleh membuat tuduhan seperti itu. Tak munasabah langsung, Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah tutup premis judi termasuklah Perlis selepas ini,’” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kemungkinan pihak yang membuat tuduhan itu sudah hilang akal.

“Bagi kawan-kawan penyokong Barisan Nasional (BN) saya mohon maaf banyak-banyak. Tetapi saya rasa bahawa perkataan seperti ini adalah satu pandangan atau kenyataan daya intelek tuan-tuan sebagai penyokong PH dan BN.

“Sepatutnya selepas mesyuarat pertama jemaah Kabinet, sidang media pertama sepatutnya penuh bermaklumat kerana ditunggu-tunggu oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, sidang media Perdana Menteri semalam sepatutnya menjelaskan perancangan kerajaan berdepan dengan kemelut ekonomi pada tahun hadapan.

Namun, katanya, Perdana Menteri lebih berminat untuk mengumumkan perkara lain berbanding perancangan kerajaan.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Justeru, beliau telah mengarah Kementerian Kewangan menyemak bagi mengesahkan sama ada dana pilihan raya untuk gabungan tersebut datang dari syarikat perjudian. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dari membuat tuduhan, lebih baik Non tutup pusat2 pejudian yg ada! Natizen cadang 2030 Malaysia bebas judi, makmur dan sejahtera. Sebagai PM yg sangat berkuasa rakyat teramai sangat berharap & mendambakan wawasan Malaysia bebas judi 2030!

  2. ANWAR SINONIM DENGAN NOMBOR2….SAYA ADA CUKUP NOMBOR EKOR ….UNTUK DIANGKAT JADI PM…..SEBAB SELALU SEBUT ANWAR PUN SYOK DENGAN DANA2 JUDI

Comments are closed.