Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hadir ke sesi taklimat sebelum memulakan tugas di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melahirkan rasa lega dengan langkah kerajaan yang memotong gaji menteri sehingga 20 peratus.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu bukan sahaja satu tanggungjawab bahkan untuk menghantar satu mesej penting bahawa kerajaan amat prihatin kepada penderitaan rakyat ketika ini.

“Sokong 100 peratus potongan gaji menteri tapi saya rasa rela dan lega ini adalah tanggungjawab dan amanah penting.

“Jumlah penjimatan itu tak seberapa mana tapi dia adalah mesej kuat yang ingin dihantar kerajaan bahawa kita bekerja untuk merasai keperitan rakyat,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Anwar berkata, keputusan itu dilaksanakan atas semangat keprihatinan anggota Kabinet terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat khususnya bergelut dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Menurut Anwar, pemotongan gaji menteri itu akan dilaksanakan kerajaan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Dalam pada itu, Kor Ming yang memulakan tugasnya hari ini akan mengamalkan budaya tiada pemberian hadiah dan cenderahati dalam pentadbirannya.

“Ini kerana saya berasa ia mungkin jadi beban kepada pihak penganjur khususnya dalam mana-mana majlis yang saya hadir tidak perlu ada apa apa hadiah atau cenderahati.

“Itu kita boleh jimat untuk sedekah kepada asnaf miskin itu lebih bermakna,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu komited untuk memperkasakan perkhidmatan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara khususnya dalam pengurusan sampah dan sistem saliran.

“Saya rasa adalah penting jabatan kerajaan tempatan memperkasakan khidmat fundamental kita iaitu khidmat pengurusan sampah, rumput dan longkang di seluruh 155 PBT.

“Saya akan minta Ketua Setiausaha KPKT untuk sampaikan kepada semua YDP PBT kerana ini isu yang dekat dengan rakyat. Saya nak mereka rasa betul-betul kita perkasakan,” katanya.

Sementara itu, dalam menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini, beliau akan memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) sentiasa bersiap sedia membantu mangsa banjir.

“Unit Monsun Timur Laut kita, banjir mungkin berlaku bila-bila masa, JBPM memang amat penting, oleh itu kesiapsiagaannya perlu.

“Saya tahu sudah siap 99 peratus tambah satu peratus jadi 100 peratus siap supaya sekiranya berlaku insiden tidak diingini pasukan kita sampai dalam masa terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast