Rafizi penjilat elaun nelayan fahmi PMQT artis kerajaan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan pemimpin-pemimpin muda dalam parti itu tidak lagi dianggap sebagai harapan masa depan politik negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka hanya harapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.

Beliau mendakwa, mereka juga sanggup ‘menjilat’ apa sahaja demi jawatan.

“Rafizi pernah berkata dia menentang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan. Bila Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan, Rafizi terus amnesia.

“Saya langsung tak menyangka bahawa Rafizi juga seorang penjilat Anwar. Rupa-rupanya presiden dan timbalan presiden serupa sahaja.

“Demi jawatan dan kedudukan, sanggup menjual diri dan menggadai perjuangan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mempertahankan tindakan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan walaupun beliau pernah mengecam Datuk Seri Najib Razak kerana melakukan perkara yang sama ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Rafizi berkata, keadaan ‘luar biasa’ yang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan hasil gabungan pelbagai parti ketika ini memerlukan Anwar menjawat jawatan Menteri Kewangan.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menempelak Rafizi kerana menggunakan alasan tersebut bagi membolehkannya melupakan prinsipnya sendiri.

“Sebenarnya ujian yang menentukan kita berprinsip atau tidak ialah ujian pada waktu yang luar biasa. Nyata sekali perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah penipuan demi nafsu dan tiada prinsip,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan Rafizi pernah berkata, beliau akan menjadi orang pertama yang menolak sebarang rundingan dengan UMNO.

“Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dia menjadi salah seorang yang berunding dengan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.