Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Beberapa sumber luar dikenal pasti untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan bahan makanan itu di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya turut memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Katanya, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad, beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada dan Agrobank bagi mengemukakan cadangan untuk membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya kekal berdaya saing dalam industri berkenaan.

Ujarnya, kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya. – MalaysiaGazette