DAP Islamofobia fobia agama mahathir DEB berkepentingan awam Kit Siang Kelantan
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diminta mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa DAP mengamalkan Islamofobia.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Ahli Parlimen Marang itu perlu menarik balik tuduhannya jika gagal membuktikannya.

Menurut beliau, laporan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Islamofobia di dunia setebal 428 muka surat yang mengkaji tempoh 14 bulan dari Disember 2020 sehingga Januari 2022 tidak menunjukkan sebarang masalah Islamofobia di Malaysia.

“Para pemimpin DAP bersedia untuk dicabar untuk membuktikan tuduhan mereka.

“Adakah para pemimpin Pas bersedia untuk membuktikan tuduhan mereka atau bersifat merendah diri untuk menarik semula tuduhan yang tidak dapat dibuktikan mereka?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam satu kenyataan 28 November lalu, Abdul Hadi berkata; “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.”

Beliau turut mengecam tindakan pemimpin-pemimpin DAP melabelkan Pas sebagai Taliban bagi memburuk-burukkan imej partinya terutamanya dalam kalangan bukan Islam.

Kit Siang menambah, Islamofobia adalah masalah besar, bukan sahaja kepada negara-negara Islam malah kepada dunia.

Beliau memberitahu, keamanan dan keharmonian tidak wujud di dunia melainkan apabila agama-agama utama dunia dapat hidup bersama dengan aman, harmoni dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Empat agama dan tamadun utama dunia yang merupakan legasi Malaysia majmuk mengajar pengikutnya untuk membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah, kebenaran dari penipuan, perkara yang sangat relevan dalam era maklumat dan media sosial di mana maklumat kini bergerak sepantas kilat,” jelasnya. – MalaysiaGazette