Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil ketika bercakap pada sidang media khas selepas selesai mesyuarat pasca kabinet Kementerian Komunikasi Digital di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kini ditukar nama menjadi Kementerian Komunikasi dan Digital di bawah Kerajaan Perpaduan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia telahpun disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam Mesyurat Kabinet yang diadakan pagi tadi.

“Saya ingin maklumkan bahawa nama kementerian ini ialah Kementerian Komunikasi dan Digital.

“Ini telah disahkan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara pada pagi tadi dan sukacita saya maklumkan kepada rakan-rakan media tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai singkatan terhadap nama kementerian yang diterajuinya itu, Fahmi bagaimanapun memberitahu, setakat ini perkara itu belum dibincangkan dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai status agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan seperti kebudayaan apabila nama kementerian telahpun bertukar, Fahmi memberitahu, aspek seni dan budaya bukan di bawah kementeriannya.

Katanya, ia akan berpindah ke kementerian lain dan menteri yang terlibat akan membuat pengumuman mengenainya.

“Mesyuarart jemaah Menteri pada hari ini telahpun memutuskan bahawa aspek seni dan budaya itu bukan di bawah kementerian ini tetapi pada waktu ini saya serahkan kepada menteri berkenaan untuk buat pengumuman,” katanya tanpa memaklumkan nama kementerian ataupun menteri yang bakal membuat pengumuman mengenai perkara itu.

Sebelum ini, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan kabinetnya pada minggu lalu, sektor seni dan budaya dilihat seolah-olah dipinggirkan.

Nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ditukar kepada Kementerian Pelancongan sehingga mencetuskan kekecohan dalam industri budaya dan hiburan.

Terdapat juga desas-desus sektor seni dan budaya mungkin diambil alih oleh kementerian yang diterajui Fahmi kerana penglibatannya dalam bidang seni pada usia remaja.

Anggota komuniti seni dan budaya Malaysia telah menggesa kerajaan untuk mengembalikan semula Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang dipisahkan daripada Kementerian Pelancongan sejak 2018. – MalaysiaGazette