Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama anggota Jemaah Menteri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 DISEMBER 2022.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) baru sahaja melabuhkan tirainya pada 19 November lalu. Sedikit berbeza daripada pilian raya sebelum ini, PRU15 memperlihatkan elemen kejutan yang mewarnai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 selepas diumumkan secara rasmi keputusannya. Dengan 70 peratus daripada lebih 20 juta pengundi keluar membuang undi yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Malaysia ditadbir kerajaan campuran seperti penggal lalu rentetan tiada parti yang mampu mendapat majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Apa juga polemik politik yang wujud akibat pertembungan kepentingan tertentu, ia mulai reda terutama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan Kerajaan Perpaduan tertubuh. Keputusan PRU15 memperlihatkan kematangan rakyat dalam memilih pemimpin yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara. Penguasaan satu parti politik yang wujud sejak berpuluh tahun sudah hilang. Sebaliknya, kini rakyat mula sedar terhadap demokrasi dan kuasa mereka dalam memilih pemimpin yang mampu menerajui negara membawa kepada perkembangan positif untuk masa depan negara.

Rakyat telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam memilih pemimpin yang diharapkan dapat mempertahankan kebajikan mereka dan seterusnya mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan. Selesai mengundi, rakyat kembali meneruskan kehidupan masing-masing sama ada sebagai penjawat awam, pekerja swasta atau bekerja sendiri. Kini, tibalah masa para pemimpin yang telah diberikan kepercayaan dan amanah oleh rakyat untuk menjalankan tanggungjawab dan apa jua manifesto yang telah dijanjikan dan dicanang sepanjang tempoh berkempen.

Kestabilan politik merupakan elemen penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat dalam berhadapan dengan apa jua situasi yang berlaku. Walaupun berasal daripada parti politik yang berbeza, mereka harus sebulat suara dan tidak bertelagah dalam mendukung perlembagaan negara. Menurut Penganalisa Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, semua ahli politik harus berpegang kepada sembilan teras keselamatan dalam Dasar Keselamatan Negara bagi menjamin kelangsungan Persekutuan Malaysia. Sekiranya asas ini didukung dengan baik, kestabilan politik negara mampu dicapai.

Kestabilan politik bagi sesebuah negara amat penting kerana ia memberikan kesan besar kepada ekonomi untuk terus berkembang dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Hanya dengan mandat yang kukuh, sesebuah kerajaan itu dapat melaksanakan pelbagai dasar dan polisi untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dan ekonomi negara. Antara indikator yang menunjukkan peningkatan taraf hidup rakyat termasuklah jumlah pendapatan keluarga, kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kesihatan, dan  kemudahan-kemudahan lain. Indikator- indikator ini merupakan keperluan asas yang diperlukan bagi menjamin kelangsungan hidup. Apabila, ianya dipenuhi,rakyat hidup dalam keadaan yang selasa, aman dan tenteram.

Situasi ini seterusnya melahirkan individu yang stabil dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intellektual. Hasilnya, masalah kesihatan mental rakyat dapat dikurangkan dan dapat melahirkan individu yang lebih berkualiti dalam membantu pembangunan negara. Rakyat juga seharusnya memberikan sokongan yang padu kepada tampuk kepimpinan yang baru ini agar kedaulatan negara dapat dikekalkan. Bak kata pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh'.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia