Foto Instagram Time.

KUALA LUMPUR – Majalah antarabangsa popular, Time memilih bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai Ikon Tahun 2022 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri perfileman.

Menerusi hantaran dikongsi di Instagram (IG) majalah itu, Time mengumumkan pemilihan aktres berasal dari Ipoh, Perak itu dibuat atas pencapaian Yeoh yang dianggap bintang paling berpengaruh di Asia sejak berdekad lamanya.

Hantaran itu turut mengiktiraf Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong melalui penampilan dalam rangkaian filem yang turut memperlihatkan keberanian aktres itu melakukan aksi lagak ngeri.

Ia turut menyebut penampilan sulung Yeoh, 60, dalam filem terbitan Hollywood apabila membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 diikuti naskhah besar lain seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Crazy Rich Asians dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

Menurut Time, filem box office, Everything Everywhere All at Once yang ditayangkan Mac lalu menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia meletakkan bintang itu dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

Pada Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu, menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Karier seni Yeoh bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983 dan kemudian mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK).

Selepas itu, Yeoh dilaporkan menyertai pertandingan Miss International Tourism Quest dan muncul pemenang lantas membuka laluan kepada dunia lakonan apabila terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan hingga menarik perhatian penerbit filem Hong Kong, D&B Films.

Antara filem lain lakonan Yeoh adalah Memoirs of a Geisha yang ditayangkan pada 2005, Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011) di mana Yeoh membawa watak Aung San Suu Kyi.

Selain Everything Everywhere All at Once, tahun ini, Yeoh membintangi filem The School Of Good And Evil, Minions : The Rise Of Gru, Paws Of Fury : The Legend Of Hank dan Avatar : The Way Of Water. – MalaysiaGazette