Syaiful Rizal (lima dari kanan) bersama murid Zon Sebuyau yang mengikuti Program Peningkatan Kemahiran Teknologi Pengaturcaraan Robotik.

SEBUYAU – Seramai 128 murid B40 dalam Zon Sebuyau, Sarawak mengikuti program Peningkatan Kemahiran Teknologi Pengaturcaraan Robotik.

Program 22 hari dari 5 hingga 26 Disember anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu melibatkan tiga sesi.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, program itu bertujuan membantu murid membina pemikiran logik dan sistematik dalam merancang serta melaksanakan program direka bagi mengukur tahap pengetahuan, sikap dan amalan mereka melalui pra serta pasca intervensi penggunaan pemprograman robotik.

Kata beliau, dalam memacu negara ke arah modenisasi, bidang inovasi harus diberi pendedahan berterusan demi kelangsungan tenaga mahir yang merupakan aset kepada sebuah negara maju.

“Kita harapkan program ini memberi impak tinggi kepada peserta yang melibatkan murid luar bandar serta dari kalangan B40.

“Menerusi program ini, mereka akan mendapat pengalaman, sekali gus menggunakan pengetahuan mengenai robotik dengan teknologi semasa.

“Ia juga dapat membuka minda murid mengenai kepentingan dan mengembangkan minat dalam pembelajaran STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics), katanya di Dewan Masyarakat Sebuyau, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh.

Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang; Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem UKM yang juga Pengurus Program, Prof. Madya Dr. Nazrul Anuar Nayan; dan Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Sebuyau, Hasan Jamil.

Jelas Syaiful Rozal, program itu turut melibatkan 22 guru serta tiga fasilitator dari UKM yang membantu peserta memahami, kreativiti, bekerjasama dan melatih untuk sentiasa berfikiran kritikal dalam membuat sesuatu keputusan.

Katanya, program itu juga antara inisiatif YBR dalam usaha melahirkan ramai tenaga mahir di kalangan murid luar bandar terutama dalam bidang Inovasi, Sains dan Teknologi serta menjayakan hasrat kerajaan untuk melihat STEM berkembang pesat di Malaysia.

“Bagi murid yang menyertai program ini, mereka merasakan pertandingan ini secara tidak langsung menggalakkannya untuk menghasilkan perisian pintar, menguji pengetahuan berhubung sistem robotik serta menonjolkan bakat.

“Melalui program ini juga membolehkan mereka bertemu dan berkawan dengan lebih ramai murid lain serta berkongsi ilmu pengetahuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast