Hishammuddin Hussein

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammudin Hussein berikrar untuk terus berjuang dalam UMNO dan tidak akan sesekali mengecewakan para penyokong yang setia kepada parti tersebut.

Tanpa mahu menunding jari menyalahkan sesiapa termasuk parti, hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, Ahli Parlimen Sembrong ini berkata, UMNO perlu melangkah ke hadapan.

Beliau mahu mengkaji dan meneliti keputusan Pilihan Raya Umum kali ke-15 bagi Parliman Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri yang baharu sahaja selesai.

Menurutnya, penelitian itu bagi melihat mood dan sentimen rakyat khususnya ke arah sokongan yang diberikan.

Langkah itu penting untuk untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.

”Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

”Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu.

Kelmarin, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Dr Mohamad Sofee Razak yang mewakili PH, dengan majoriti 16,260 undi.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee meraih 35,377 undi.

Calon BN, Datuk C Sivaraj yang memberi laluan kepada Mohamad Sofee selepas penamaan calon pula mendapat 2,983 undi.

Di DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain yang wakili BN, berjaya mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat pada PRU15 dengan majoriti tipis 573 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Pesaing terdekatnya, Nor Idayu Hashim daripada PN, meraih 7,507 undi.

Hishammuddin berkata, sejak tidak lagi berada dalam Kabinet beliau mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan.

”Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO – dulu, kini dan selamanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette