Keadaan berjerebu di Mumbai. foto Twitter

MUMBAI – Ibu kota kewangan India, Mumbai menyaksikan kualiti udara yang “sangat teruk” dalam beberapa hari ini.

Malah, kualiti udara bandar ini jauh lebih teruk berbanding pencemaran di New Delhi.

Mumbai telah menyertai senarai bandar-bandar India yang mempunyai pencemaran udara yang teruk.

Pakar berkata, pembinaan pesat, keadaan cuaca buruk dan peningkatan pencemaran daripada pelepasan kenderaan adalah beberapa faktor yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan kualiti udara.

Paras PM 2.5 – zarah halus yang boleh menyumbat paru-paru dan menyebabkan pelbagai penyakit – adalah 308 di Mumbai pada jam 8.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Manakala bacaan bagi New Delhi pula sebanyak 259, menurut data kerajaan.

Tahap bacaan antara 200 hingga 300 adalah lemah dan mana-mana bacaan antara 300 hingga 400 dikategorikan sebagai sangat lemah.

Banyak bandar di India, termasuk New Delhi, Kolkata, Kanpur dan Patna, sering melaporkan tahap PM 2.5 jauh melebihi had selamat.

Angka antara sifar dan 50 dianggap “baik”, dan antara 51 dan 100 adalah “memuaskan”, mengikut indeks kualiti udara atau AQI.

Kualiti udara yang buruk di bandar-bandar India menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada orang ramai.

Kajian Lancet melaporkan bahawa pencemaran membawa kepada lebih 2.3 juta kematian pramatang di India pada 2019. – Agensi