KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri KDN membenarkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk dibenarkan untuk masuk depoh tahanan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, langkah itu dapat menjernihkan suasana, selain memberi peluang kepada umum mengetahui keadaan tahanan di depoh Kimanis.
“Menteri KDN semalam ada mengulas video dan gambar tular memaparkan individu-individu didakwa ditahan di Depoh Imigresen di Kimanis yang mana badan mereka kelihatan susut, kurus dan tidak bermaya. Beliau dakwa individu- individu tersebut telah susut sebelum ditahan dan masuk ke depoh lagi bukannya semasa ditempatkan di sana.
“Menteri juga disoal adakah individu tersebut mengamalkan gaya hidup sihat atau terlibat aktiviti tidak sihat yang menyebabkan fizikal menjadi susut dan kecil. Timbul persoalan dalam kalangan kami adakah pihak KDN boleh memastikan isu krisis makanan dan kesihatan di dalam depoh tahanan tersebut dapat ditangani dengan baik?
“Ini kerana pihak kami telah mendapat maklumat lapangan terdapat krisis makanan dan kesihatan di dalam Depoh Tahanan Kimanis. Perkara ini turut dilaporkan oleh ahli keluarga tahanan.
”MHO tidak menuduh atau menuding jari sebaliknya hanya fokus khusus tentang hal-hal kemanusian dalam depoh tahanan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Hishamuddin lagi, MHO sebagai sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin menegakkan hak-hak kemanusiaan telah banyak mendengar tentang pelbagai rayuan, aduan serta kekecewaan berhubung depoh tahanan sejak dulu lagi.
“Seperti sedia maklum NGO-NGO kemanusiaan termasuklah MHO lantang mengkritik isu- isu tentang pemerdagangan manusia serta sindiket penipuan di luar negara yang mana rakyat Malaysia telah menderita dikurung dan diseksa.
“Oleh itu Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di depoh-depoh tahanan imigresen di Malaysia.
”Dengan rendah diri, kita ingin cadangan supaya pihak KDN pertimbang membenarkan NGO-NGO untuk masuk bagi melihat sendiri keadaan tahanan-tahanan di depoh yang terlibat,” ujarnya.
Semalam, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua pihak perlu melihat keadaan fizikal dan kesihatan tahanan sebelum atau ketika dibawa pusat tahanan.
Katanya, tubuh tahanan yang susut atau kecil mungkin berpunca daripada aktiviti tidak sihat dilakukan sebelum ditahan dan tidak adil jika ada pihak membesar-besarkan isu seperti ini.
Beberapa hari lepas, tular klip video selama 90 saat berhubung beberapa tahanan di depoh tahanan di Kimanis kononnya tidak mendapat makan minum mencukupi, selain tidak diberi ubat untuk masalah gatal kulit yang dialami. -MalaysiaGazette