NIBONG TEBAL – Isu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta kalendar akademik persekolahan antara intipati yang akan diperincikan Kementerian Pendidikan (KPM) minggu depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan menyentuh perkara yang akan menjadi hala tuju sistem pendidikan negara semasa sidang media khas tersebut.
Ketika ditanya sama ada ibu bapa boleh menantikan isu UPSR, PT3 diperincikan dalam sidang media tersebut, Fadhlina secara ringkas menjawab: “boleh”.
“Ibu bapa boleh nantikan isu (UPSR, PT3). Selain itu, perkara yang berkait rapat dengan pemegang taruh serta konsultasi juga akan diperincikan.
“Berhubung dengan kalender akademik pula, dalam kenyataan KPM sudah dinyatakan secara rasional cuma nanti saya akan perincikan mengapa ia jadi begitu kerana prosesnya agak panjang untuk diceritakan jadi saya akan maklum semasa sidang media khas tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Kenduri Rakyat anjuran Parlimen Nibong Tebal di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina juga mengulangi pendirian pihaknya akan mengambil kira semua pandangan dan kritikan pemegang taruh untuk memastikan sistem pendidikan negara berada pada landasan.
“Saya mohon semua untuk bersabar kerana isu pendidikan ini sangat-sangat penting dan ia melibatkan semua pihak iaitu pemegang taruh kita sangat besar termasuk kementerian ini. Jadi InsyaAllah kita akan cuba selesaikan satu persatu mengikut proses,” ujar beliau. – MalaysiaGazette