Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin diberi penerangan mengenai bangunan Datum Jelatek oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datumcorp International Sdn Bhd, Mohd Azmil Abd Shukor selepas Majlis Perasmian Pusat Beli Belah Datum Jelatek dan Pejabat Korporat Datumcorp International Sdn Bhd ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah baharu yang semakin popular di sekitar Ampang dan Gombak, Datum Shopping Centre kini sudah mencecah hampir 70 peratus kadar penghunian ruang niaga sejak ia dibuka kepada umum pada 26 November lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif DatumCorp, Mohd Azmil Abd Shukor berkata, penyewaan ruang niaga dijangka mencapai 95 peratus menjelang suku keempat 2023.

Antara jenama yang berada di Datum Jelatek Shopping Centre termasuklah The Food Merchant, Healthlane Pharmacy, Guardian, Burger King, A&W, KFC, Four Fingers, Kenny Rogers, Krispy Kreme, Hot&Roll, LLAO LLAO, Nice to CU, Nur Shop, Mee Hiris, Ayam Penyet, United Optometry, Original Classic, PISB, Bounce Kids World.

“Kita juga mempunyai pelbagai rangkaian kopi seperti Starbucks, Jamaica Coffee, Locca  Cafe, Mesra Coffee, Tealive, Gigi  Coffee dan Zus Coffee,” katanya selepas majlis perasmian Datum Jelatek di sini hari ini.

Suasana dalam Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2022.

Raja Muda Selangor, DYMM Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli berangkat hadir bagi merasmikan Datum Jelatek Shopping Centre ini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas.

Ketika berucap dalam majlis perasmian, kata Mohd Azmil, DatumCorp yang juga anak syarikat penuh milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mahu memastikan projek pembangunan premium terus menjana pulangan tinggi kepada syarikat induknya.

“Projek sulung DatumCorp iaitu Datum Jelatek ini telah dimulakan pada 2014 dan siap sepenuhnya pada tahun 2021 dengan pelbagai cabaran kita hadapi termasuklah pandemik sehingga menyebabkan projek ini terpaksa dihentikan seketika selain isu-isu lain.

“Namun semua itu tidak mematahkan impian kita, komitmen yang tidak berbelah bahagi bukan sahaja dalam kalangan kakitangan DatumCorp, sebaliknya kerajaan negeri Selangor adalah realiti untuk kami siapkan projek ini dengan begitu baik sekali,” katanya.

Pusat Beli Belah Datum Jelatek, sudah mencapai 70 peratus kadar penghunian ruang sewa. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2022.

Datum Jelatek ini berkeluasan 500,000 kaki persegi ini mampu melonjokkan penjualan unit kediaman sekali gus merancakkan kitaran ekonomi negeri dan juga meningkatkan peluang pekerjaan masyarakat setempat.

Selain pusat beli-belah, pembangunan Datum Jelatek melibatkan Datum Jelatek Residence yang merangkumi 712 unit pangsapuri mewah dengan lebih daripada 50 kepelbagaian fasiliti dan dikelilingi kemudahan awam antaranya seperti transit aliran ringan (LRT) dan klinik kesihatan.

Kepelbagaian jenama rakan niaga yang menyertai pusat beli-belah Belah Datum Jelatek ini juga bakal menjadi kawasan ini tumpuan warga Lembah Klang untuk mencari barangan keperluan harian dan makanan kerana mudah untuk diakses.

Dari LRT Jelatek, orang rami boleh terus berjalan masuk melalui laluan berbumbung ke dalam pusat beli-belah Datum Jelatek ini. -MalaysiaGazette