Rafizi memuatnaik gambar 'sekadar hiasan' - memanaskan badan untuk marathon tanggungjawab yang pelbagai selepas ini. Air kelapa adalah penawar yang baik.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengeluarkan kenyataan politik bagi menjawab segala tuduhan Perikatan Nasional (PN) dan Pas mulai minggu depan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, setiap kenyataan politik itu akan dikeluarkan atas kapasitinya sebagai pemimpin nombor dua parti.

Katanya, beliau faham perang media sosial masih panas yang mana mainan politik PN dan Pas terus berlaku.

“Mulai minggu depan, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, saya akan mula mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR bukan sebagai menteri untuk menggariskan perancangan dan usaha kita bersedia menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya juga akan menyiarkan kandungan-kandungan politik, selain dari kandungan mengenai dasar dan program sebagai menteri supaya kita mematahkan sentimen kebencian yang dibawa sekarang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, tanggungjawab utama kerajaan dan beliau selaku Menteri Ekonomi adalah menumpukan usaha membaiki kehidupan rakyat.

Ini katanya, masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, beliau akan menunpukan kepada kerjanya sebagai menteri.

Beliau berkata, keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.

“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN dan Pas. Saya akan menjawab isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.

“PN jangan ingat menjadi pembangkang hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka.

“Kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan yang berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri,” katanya.

Kata Rafizi, mulai Januari tahun depan, beliau juga akan mula menggerakkan kempen untuk PRN di enam negeri.

Katanya, PH akan berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan.

“Jadi, kepada kawan-kawan yang risau di luar, Insya-Allah kami ada perancangan yang disusun untuk berdepan dengan lawan politik.

“Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.

“Masa kami sendiri seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti,” katanya.

Beliau tidak mahu menjadi seperti PN dan Pas ketika menjadi kerajaan semua berpuas hati dan kebajikan rakyat tidak terjaga tetapi apabila dibuang dari kerajaan oleh rakyat baru terpaling lantang.

“Kita jumpa di pentas rakyat dan Parlimen nanti. Biar rakyat hakimi siapa yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dengan amanah yang diberikan,” katanya.

Dalam status itu juga beliau memuatnaik sekeping gambar sedang memegang air kelapa dengan kapsyen “memanaskan badan untuk marathon tanggungjawab yang pelbagai selepas ini. Air kelapa adalah penawar yang baik”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast