Datuk Armizan Mohd Ali

TEMERLOH – Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan sehingga kini tidak ada menerima sebarang notis pemecatan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya ada terdengar berita-berita begitu sebaik saya dilantik sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan, ada pimpinan Bersatu dalam forum-forum tertentu diberitakan meminta saya dipecat sebagai ahli.

“Tapi buat masa ini, saya tiada terima sebarang notis pemecatan Bersatu, daripada peguam Bersatu pun tiada, bagi saya ia status quo,” jelasnya ketika ditemui selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Semantan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Sabah,Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata demikian ekoran isu wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong Kerajaan Perpaduan sedangkan ada antara mereka ahli Bersatu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, para pengundi di Papar memilih beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu atas nama Armizan Mohd Ali beserta logo GRS.

Justeru, beliau menegaskan, tiada isu lompat parti berlaku kerana penyertaan sebagai ahli dalam GRS dilakukan sejak peringkat awal lagi.

“Ia dilakukan sebelum PRU15 lagi selain saya terlibat dalam pasukan penggubalan perlembagaan parti tersebut.

“Bagi saya tiada isu lompat parti kerana saya ahli GRS yang sah, bertanding atas tiket GRS dan tidak ada mengumumkan bahawa keluar dari Bersatu melainkan Bersatu mengambil tindakan untuk memecat keahlian saya,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Junaidi Tuanku Jaafar mengatakan empat ahli Parlimen Sabah yang keluar dari Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi memandangkan status mereka ketika ini adalah ahli GRS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast