Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) meramalkan harga minyak sawit akan kekal kukuh sekitar RM3,800-5,000 satu tan pada suku pertama 2023, didorong oleh kebimbangan antaranya terhadap risiko bekalan, peningkatan permintaan biodiesel dan import minyak makan oleh China.

Menurutnya, faktor tarikan penawaran-permintaan mungkin dipengaruhi oleh kemarau yang berterusan di Argentina yang boleh menyebabkan kerugian teruk tanaman kacang soya, La Nina kali ketiga berturut-turut yang membawa kepada hujan yang lebih lebat daripada biasa di kawasan kelapa sawit utama; dan berkurangnya pengeluaran biji bunga matahari dari Ukraine berikutan perang berterusannya dengan Rusia.

Dalam nota hari ini, firma pembrokeran itu menyatakan Indonesia merancang untuk meningkatkan mandat biodieselnya kepada B35, Amerika Syarikat pula menyaksikan peningkatan kapasiti diesel boleh diperbaharui, manakala import minyak boleh dimakan oleh China mungkin akan bertambah apabila ia melonggarkan sekatan COVID-19.

“Selain itu, suku pertama biasanya merupakan musim pengeluaran minyak sawit paling rendah dan kami menjangkakan kekurangan pekerja asing dapat diselesaikan hanya pada separuh kedua 2023.

“Data daripada 10 ahli teratas Persatuan Minyak Sawit Malaysia mendedahkan bilangan pekerja asing masuk yang diluluskan hanya memenuhi 19 peratus daripada jumlah yang diperlukan oleh syarikat,” kata CGS-CIMB.

Ia percaya harga minyak sawit mentah (MSM) boleh berkurangan mulai Q2 2023 dan seterusnya apabila bekalan MSM pulih dengan kemasukan lebih ramai pekerja asing, sambil menambah  pertumbuhan global yang lebih perlahan juga boleh mengekang permintaan.

Sementara itu, ia berkata kembalinya pekerja asing secara beransur-ansur akan membantu menaikkan hasil buah tandan segar (FFB), yang sebahagiannya boleh mengimbangi kesan harga MSM yang lebih rendah dan kenaikan kos berikutan kenaikan gaji minimum, potensi kenaikan levi pekerja asing dan kos baja yang lebih tinggi untuk penanam Malaysia pada tahun 2023.

Sehubungan itu, firma pembrokeran itu mengunjurkan purata harga MSM pada RM5,122/RM3,800 setan untuk 2022/2023, dan mengekalkan saranan “neutral” untuk industri minyak sawit. – BERNAMA