Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad merasai pengalaman menaiki kereta elektrik pada Pelancaran Stesen Pengecas EV Bangi Golf Resort dan Penyerahan Lesen Pengagihan Awam Sistem Pengecas EV oleh Suruhanjaya Tenaga Bangi Golf Resort, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 14 DISEMBER 2022.

BANGI – Bagi memastikan bukan hanya golongan berpendapatan tinggi mampu menggunakan kenderaan elektrik (EV) – kerajaan turut bercadang untuk membawa masuk kenderaan itu di bawah harga RM100,000.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan itu bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut akan dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida.

“Sekarang kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah.

“Itu kita akan tengok bagaimana kerajaan dapat main peranan bersama dengan kerjasama syarikat-syarikat automatif,” katanya kepada media selepas melancarkan stesen pengecas EV Bangi Golf Resort hari ini.

Malah Nik Nazmi berkata, kenderaan EV akan dijual dengan lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini.

“Kerajaan tengah lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik dan antara saya ingat faktor penting adalah bila Proton sekarang akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat namun itu dari luar negara.

“Kalau kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia mungkin akan bantu kita untuk tawarkan kenderaan-enderaan EV yang lebih rendah,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.

Langkah itu selari dengan Dasar Automotif Nasional yang menggariskan inisiatif khusus bagi memperkukuh ekosistem EV seperti pembuatan komponen kritikal, penetapan standard dan menggalakkan aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi untuk membangunkan teknologi tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast