Gambar kenangan warga SKPGB, bersama staf dan pelajar FAST, UTHM

BIDOR – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) melalui Panel Fizik dan Jabatan Siswazah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Gading Kencana menganjurkan Program khidmat komuniti dengan  menyantuni  anak-anak Orang Asli suku Semai dari Sekolah Kebangsaan Pos Gedong Bidor (SKPGB), Perak.

Program itu melibatkan penyertaan 87 pelajar SKPGB itu diadakan bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang sains dan matematik.

Program yang diadakan buat kali kedua itu diketuai oleh Ketua Jabatan Fizik dan Kimia, Dr. Afishah Alias dan dibantu oleh dua pensyarah FAST, Prof. Madya Chm. Dr. Hatijah Basri dan Prof. Madya Dr. Rosmila Abdul Kahar serta empat pelajar fakulti terbabit.

Aktiviti santai kumpulan pelajar dan PM Dr. Hatijah Basri

Program yang berlangsung selama empat jam itu diisi dengan aktiviti santai yang menguji minda peserta berkaitan zains dan matematik.

Turut diadakan, aktiviti merangka model kapal terbang bagi menguji kreativiti peserta serta eksperimen Sains yang bertujuan menarik minat peserta terhadap bidang tersebut.

Selain itu, aktiviti pengenalan matematik dari aras mudah ke sederhana menggunakan model dan kertas latihan.

Guru Besar SPKGB, Cikgu Amir Hamzah dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UTHM kerana menjalankan program yang bermanfaat seumpama itu.

Menurut Dr. Afishah, selain beraktiviti para pensyarah juga mengambil masa untuk mendekatkan diri dan beramah mesra dengan anak-anak orang asli sekali gus menyelami kehidupan mereka bersama keluarga masing-masing.

Sesi ukhwah tersebut juga bertujuan mendorong minat mereka untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Apabila mengetahui anak-anak tersebut terpaksa menyusuri perjalanan yang sukar seperti perlu meredah hutan, bukit dan sungai untuk sampai ke SKPGB demi menuntut ilmu, timbul rasa insaf dan syukur dalam diri kami.

“Pihak kami mendoakan agar para pelajar ini sedikit sebanyak mendapat inspirasi dan motivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini bagi mengubah nasib diri,keluarga dan kaum mereka,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast