Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepda media selepas meninjau keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Dua lagi mayat tragedi tanah runtuh ditemui di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Jalan Genting Highlands di sini seterusnya menjadikan keseluruhan 21 mangsa setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir meninjau lokasi kejadian malam ini.

“Daripada keseluruhan 94 mangsa, secara rasmi 21 orang disahkan meninggal dunia dengan 12 orang belum ditemui,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan langkah waspada kerana terdapat aliran air di bawah tanah runtuhan.

“Hasil siasatan awal dari Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Tanah dan Galian mendapati ada aliran air di bawah tanah ini. Saya harap usaha pencarian 12 orang itu berjaya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan ibu bapa serta pihak sekolah untuk mengelak sebarang aktiviti di kawasan berisiko tanah runtuh serta di tepi sungai.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, agensi yang terlibat akan meningkatkan pemantauan agar tragedi tersebut tidak berulang.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu terdapat peruntukan bantuan untuk mangsa tanah runtuh yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Ketika ini, SAR masih diteruskan walaupun cuaca hujan renyai di sekitar kawasan runtuhan – MalaysiaGazette