JKKP tanah runtuh
V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) akan menjalankan siasatan lanjut dengan segera sekiranya ada petunjuk terdapat aktiviti pekerjaan yang menyebabkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, tindakan itu akan diambil setelah pihaknya mendapat kebenaran daripada pihak keselamatan untuk mengakses lokasi kejadian.

Beliau juga telah mengarahkan pasukan pegawai penyiasat daripada JKKP untuk mendapatkan maklumat segera mengenai kejadian tersebut.

“Walaupun demikian, pasukan penyiasat JKKP belum dibenarkan untuk mengakses lokasi kejadian oleh pihak keselamatan kerana pasukan keselamatan pada masa ini masih memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat.

“Hasil daripada maklumat awal yang diperolehi, saya telah dimaklumkan bahawa kemalangan berkenaan terletak di luar bidang kuasa JKKP berdasarkan peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) kerana kes ini lebih menjurus kepada kejadian bencana alam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sivakumar menegaskan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa memandang serius terhadap setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes kejadian berbahaya yang berlaku di sektor pelancongan.

Beliau menambah, kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini termasuk dalam sektor pelancongan. – MalaysiaGazette