Lee Ting Han

JOHOR BAHRU – Negeri Johor merekodkan pelaburan terkumpul RM63.9 bilion sejak Januari sehingga bulan lalu iaitu hampir 33 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan diterima Malaysia.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, jumlah itu diperoleh daripada statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dikeluarkan pada Rabu lalu.

“Pelaburan berjumlah RM63.9 bilion itu direkodkan negeri Johor manakala Malaysia merekodkan pelaburan sebanyak RM193.7 bilion.

“Sektor perkhidmatan tetap mendominasi pelaburan Johor dengan RM55.06 bilion, diikuti perkilangan (RM8.84 bilion) dan sektor utama lain sebanyak RM 25 juta,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Kata Ting Han, MIDA meluluskan 340 projek dan berjaya mewujudkan sebanyak 11,968 peluang pekerjaan melalui pelaburan tersebut.

Menurutnya, antara pelaburan direkodkan ini termasuk Insulet Corporation dari Amerika Syarikat dan Singapura yang membangunkan kilang pengeluaran peranti perubatan, syarikat data dari China iaitu GDS Holdings Ltd, Bridge Data Centres serta YTL Power International Bhd Malaysia dan Wiwynn Corporation dari Taipei yang menubuhkan fasiliti pembuatan papan litar bercetak.

“Untuk makluman statistik juga menunjukkan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan utama negara bersandarkan ekosistem pelaburan dan perindustrian yang memenuhi kriteria pelabur asing dan domestik.

“Ini termasuk penyediaan modal insan berkualiti dan berkemahiran, kestabilan politik, utiliti dan tanah yang mencukupi serta infrastruktur pelabuhan dan kemudahan asas yang baik.

“Dengan bertapaknya pelaburan seperti ini, Johor dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, peranti perubatan, pembuatan termaju serta industri sokongan berkaitan,” ujarnya.

Katanya, ia selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menumpukan pelaburan berkualiti ke Malaysia dengan memperhebatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi baharu.

Pelaburan  juga, katanya, dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk rakyat Johor selain meningkatkan daya saing negeri ini peringkat antarabangsa.

Ting Han  berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif Pejabat Pelaburan Digital (DIO) untuk mewujudkan iklim perniagaan unik dalam menarik pelaburan projek-projek digital.

“Ini terutamanya bagi pembangunan pusat data yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatkan jumlah pelaburan tahun ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette