KUALA LUMPUR – Penjaga gol baharu Penang FC, Azfar Arif Mohd. Sukri teruja untuk merasai aura baharu bersama pasukan yang mempunyai kelompok penyokong lebih besar buat kali pertama dalam kariernya bermula musim depan.
Azfar yang sebelum ini pernah beraksi bersama UiTM FC dan PJ City FC mengakui pemilihannya untuk ke Penang pada musim depan adalah tepat selepas menolak beberapa tawaran kelab lain seperti Sabah FC, Kelantan United dan Kelantan FC.
Pemain berusia 23 tahun ini menganggap persaingan untuk merebut tempat dengan Khatul Anuar Md Jalil dan Shafiq Afifi Suhaimi sebagai cabaran besar yang perlu diharungi selain berharap mampu untuk mendapatkan minit permainan yang lebih baik kali ini.
“Ini adalah kali pertama saya beraksi dengan pasukan yang ada kelompok penyokong ramai seperti Penang kerana sebelum ini saya bersama UiTM dan PJ City.
“Musim 2022 pada awalnya saya berdepan dengan kecederaan buku lali dan waktu itu Kalamullah (Kalamullah Al-Hafiz) juga beraksi cemerlang dan memang susah untuk saya rebut tempat.
“Sebab itulah musim depan memang saya sasarkan untuk dapat minit permainan yang lebih lama walaupun tahu bukan mudah nak bersaing dengan dua lagi penjaga gol.
“Tetapi saya sahut cabaran itu dan saya pun sebenarnya dah lama nak merasa suasana di belah utara kali ini, sebab itu saya memilih Penang FC,” jelasnya.
Namun, Azfar turut menjelaskan antara cabaran lain yang perlu ditempuh adalah perlu membahagikan masa dengan lebih baik kerana masih mempunyai satu semester untuk dihabiskan selaku pelajar jurusan Sains Sukan di UiTM Shah Alam.
“Saya rasa musim depan juga memang mencabar sebab saya masih lagi belajar dan tahun depan sudah memasuki semester enam.
“Kalau sebelum ini tiada masalah sebab saya masih di Lembah Klang dan kali ini berada jauh, jadi memang perlu tahu untuk membahagikan masa dengan lebih teratur.
“Cuma saya tidak perlu ke kelas pada semester depan disebabkan perlu memulakan latihan praktikal jadi nanti kita tengok macam mana perancangan yang saya akan buat,” tambahnya. – MalaysiaGazette