KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) agar bertindak tegas dalam mengawal aktiviti rekreasi dan perkhemahan di kawasan yang berisiko pada musim banjir.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gesaan itu adalah seperti yang sebelum ini amat ditekankan dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu, Pas mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua jabatan yang telah bertindak pantas dan cemerlang serta bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor.
“Sehubungan itu juga, Pas mengarahkan semua wakil rakyatnya terutama dari Selangor dan berdekatan supaya dapat memberikan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya.
“Pas turut mengarahkan sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penyelamat Khidmat Malaysia agar segera turun padang memberikan segala bantuan bersama-sama membantu agensi berkaitan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Takiyuddin menambah, Pas turut berdukacita dengan kejadian bencana tanah runtuh tersebut yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
“Justeru, Pas mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap pihak berkuasa akan dapat menguruskan insiden dengan sebaiknya,” jelasnya. – MalaysiaGazette