Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika bercakap pada sidang media mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Father Organic Farm Batang Kali di Hospital Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH- Aktiviti perkhemahan antara guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Batang Kali bukan anjuran rasmi sekolah di Kuala Lumpur itu, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sebaliknya beliau berkata, aktiviti berkenaan yang turut dihadiri oleh rakan dan keluarga guru-guru sekolah itu diadakan atas kapasiti peribadi.

“Ini trip di antara kawan-kawan guru-guru dan keluarga. Apa pun kita masih dalam proses dapatkan fakta yang tepat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh malam ini.

Terdahulu, Fadhlina meluangkan masa beberapa minit bertemu dengan waris mangsa yang majoriti kelihatan gagal mengawal emosinya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar semua pihak menghormati dan memberi waris keluarga mangsa ruang dan masa dalam tempoh berduka ini.

“Kita rakamkan rasa berduka dan takziah mudah-mudahan proses ini dipercepat dan dipermudahkan kepada keluarga mangsa. Suasana sangat menyayat hati jadi kita minta ruang diberikan kepada keluarga mangsa sebab mereka melakui proses yang agak sukar.

“Prosesnya sangat panjang kita masih dalam proses mengenal pasti sebab itu kita perlu beri waris dan keluarga ruang dan masa untuk mereka bertenang,” katanya lagi.

Sementara itu, Fadhlina berkata, selain guru-guru dipercayai terdapat murid yang juga terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Terdahulu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, seramai tujuh guru wanita terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali awal pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast