PUTRAJAYA – Pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) yang dinamakan Permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan antara lima gabungan politik memberi jaminan tiada lagi Langkah Sheraton.
Selain itu insiden ‘kerajaan tebuk atap’ tidak akan berulang, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pemeteraian MpU itu boleh disifatkan sebagai sejarah negara dan menjadi titik noktah kepada proses pembentukan kerajaan yang bermula dengan situasi Parlimen tergantung sebelum ini.
“Alhamdulillah hari ini kita menjadi saksi momen bersejarah apabila parti-parti gabungan telah menandatangani satu semorandum persefahaman dan secara rasminya menubuhkan satu Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Pemeteraian perjanjian ini secara tidak langsung memberi jaminan bahawa insiden kerajaan tebuk atap tidak akan berulang kerana kita kena baca dua perkara bersekali iaitu satu dokumen yang ditandatangani bersekali dengan apa yang kita usahakan iaitu pindaan kepada perlembagaan yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya kepada media hari ini.
Ahmad Fahmi berkata demikian mengulas mengenai pemeteraian MoU antara lima gabungan utama yang ditandatangani kesemua setiausaha agung dan presiden parti masing-masing.
Menurut Fahmi, pemeteraian tersebut merupakan satu signal yang sangat baik dan beliau menjangkakan Sidang Khas Parlimen pada Isnin depan berjalan dengan lancar.
“Seperti yang dapat kita lihat hari ini, hubungan baik dan akrab kepimpinan tertinggi parti-parti politik merupakan signal jelas kepada fokus kita untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Hubungan erat yang dapat kita lihat ini juga akan menjamin satu kestabilan untuk membantu memacu ekonomi negara demi kemakmuran bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette