HULU SELANGOR – Mayat ibu dan seorang anak lingkungan usia empat tahun ditemui berpelukan dalam timbusan tanah dengan kedalaman sekitar tiga kaki pada pukul 4.40 petang tadi.
Itu antara mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali – Jalan Genting Gohtong di sini menjadikan keseluruhan 19 mangsa berjaya ditemui dengan seorang lagi mayat sedang dibawa keluar.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Suffian Abdullah, baki mangsa yang masih dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah seramai 14 orang.
“Kita guna khidmat Unit K9 PDRM untuk masuk ke tempat kejadian bagi usaha pengesanan. Setelah anjing mengesan bau mayat, ia memudahkan operasi dengan menggali tanah tersebut serta beberapa kaedah lain,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan, SAR akan diteruskan 24 jam sehingga kesemua mangsa ditemui.
“Operasi ini akan diteruskan 24 jam bergantung keadaan cuaca. Jika hujan, kita akan henti serta merta. Setakat ini anggota disusun bersilih ganti dalam satu jam untuk teruskan carian 14 mangsa. Dari segi pencahayaan untuk bertugas pada waktu malam, kami telah bersedia,” katanya.
Bagaimanapun, Norazam memberitahu pergerakan tanah akan sentiasa dipantau kerana terdapat runtuhan susulan pada pukul 7 pagi tadi.
“Dalam 7 hingga 9 pagi tadi ada sedikit runtuhan berlaku tapi keadaan ketika ini masih stabil dan kita akan berwaspada sebab ada aliran air yg keluar daripada runtuhan itu,” ulasnya.
Tambah Norazam, keadaan mayat yang ditemui tidak melibatkan sebarang kecederaan teruk dan masih boleh dikenal pasti.
Setakat ini, katanya, tiada pelancong luar negara yang terlibat dalam insiden tersebut. – MalaysiaGazette