Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani ketika bercakap pada media selepasmeninjau keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022

HULU SELANGOR – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Baharuddin Mat Taib akan mengetuai siasatan tragedi tanah runtuh di Jalan Genting Highlands – Batang Kali yang sehingga hari ini telah mengorbankan 24 nyawa.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani siasatan yang meliputi tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu akan mencakupi segala aspek yang diperlukan.

“Saya telah mengarahkan OCCI Selangor (Baharuddin Mat Taib) untuk mengetuai apa jua siasatan berkait dengan insiden tanah runtuh ini.

“Paling mustahak sekarang ialah kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengenal pasti identiti semua mangsa yang telah meninggal dunia dalam tragedi itu yang berlaku 2.30 pagi Jumaat di tapak perkhemahan itu,” katanya kepada pemberita di hari ini.

Beliau terdahulu telah melawat dan mendapatkan taklimat mengenai perkembangan terbaharu misi pencarian dan penyelamatan baki mangsa yang masih tertimbus di dalam runtuhan tanah itu.

Setakat ini seramai 24 orang terkorban dengan terbaharu mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam timbunan tanah lumpur di sektor A pada jam 4.05 petang tadi.

Jasad kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses pengecaman dan dibedah siasat.

Penemuan terkini itu, menurut Acryl Sani, menjadi jumlah mangsa yang terkorban adalah seramai 24 orang dan baki sembilan lagi mangsa sedang diteruskan pencarian oleh pasukan SAR ketika ini.

Dalam pada itu ditanya perkembangan terbaharu proses merakam keterangan pengurus kebun organik, katanya, individu itu masih belum selesai dirakam keterangan setakat 6 petang tadi.

“Kami telah menunggu pengurus kebun itu tampil beri keterangan hari ini. Tapi kami dimaklumkan dia masih sedang dalam perjalanan untuk ke IPD Hulu Selangor.

“Jadi kita akan tunggu dulu untuk individu itu dan akan dirakam keterangan nanti bagi membantu siasatan dalam kejadian tanah runtuh seperti ditetapkan dalam siasatan polis.

“Buat sementara waktu ini seperti mana kita setuju akan tertumpu di lokasi kejadian sehingga semua baki sembilan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan itu ditemui segera.

“Namun, itu tidak bermakna siasatan selari tidak berjalan,” ujarnya.

Acryl juga menegaskan beliau memaklumkan kepada para pegawai dan anggota polis dan bomba di lapangan tempat kejadian agar sentiasa mengemaskini maklumat SAR kepada media.

Katanya, beliau mahu memastikan media sentiasa diberi maklumat terkini tentang operasi mencari dan menyelamatkan mangsa di lokasi tanah runtuh di Batang Kali.

“Ini sebabnya media ini akan jadi penghubung masyarakat di luar sana dan saya harap petugas-petugas yang berkumpul di Batang Kali sejak awal pagi Jumaat sentiasa diberikan maklumat terkini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast