penjara
Gambar hiasan.

TAMPIN – Polis menahan seorang peguam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pindah milik tanah bernilai RM927,340.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan semalam oleh pasukan risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan.

Beliau berkata penahanan dilakukan susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang menyedari ditipu semasa proses jual beli tanah seluas 10.04 hektar di mukim Tanjung Kling, Rembau.

“Siasatan awal mendapati orang yang disyaki mengaku terlibat dalam penipuan dengan menjadikan beberapa lot tanah sebagai medium untuk menipu mangsa dan pemalsuan tandatangan di dalam surat perjanjian jual beli serta beberapa dokumen pindah milik tanah,” katanya dalam kenyataan.

Anuwal berkata peguam dilantik oleh mangsa memaklumkan terdapat individu lain mendakwa sebagai pemilik sebenar tanah tersebut namun pemilik tanah itu mendakwa dia tidak pernah melantik mana-mana pihak bagi menguruskan jual beli tanah miliknya.

Beliau berkata peguam itu kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.

— BERNAMA