Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menemui lapan daripada 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini dalam keadaan tertimbus dengan tanah antara kedalaman 0.9 hingga 1.5 meter.

Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis yang mengesahkan perkara itu berkata, keadaan mayat tersebut ditemui pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, penemuan mayat terbabit selepas kerja-kerja penggalian menggunakan jengkaut dijalankan semasa operasi SAR.

Pada masa sama jelas beliau, enam mayat berjaya dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) sebelum sebahagian kawasan digali dengan jengkaut dan seterusnya dikeluarkan petugas SAR.

“Namun pada hari kedua pula, tiga mayat ditemui apabila sebahagian tubuh mereka yang terkeluar daripada timbunan tanah dan pokok dikesan petugas SAR,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian di ini, hari ini.

Beberapa buah kenderaan yang telah hancur di lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, mengesahkan operasi SAR mangsa tanah runtuh pada hari ketiga hari ini gagal menemukan sebarang mangsa baharu.

Sementara itu, Norazam berkata, dua alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) yang digunakan bermula hari ini banyak membantu dalam mengecilkan skop lokasi pencarian mangsa di semua sektor iaitu A, B dan C.

“Pada hari ini, terdapat 14 lokasi di sektor A dan C ditandakan selepas alat GPR berjaya mengesan objek yang disyaki tubuh mangsa di bawah tanah.

“Bagaimanapun, selepas penggalian menggunakan jentera pengaut dilakukan, kita tidak menemui sebarang mayat mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

Keadaan di sekitar lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.