Anggota bomba membawa anjing pengesan ketika menyambung misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Sebanyak tiga Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, di sini, yang diteruskan pada hari ketiga bermula pukul 8.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, jumlah itu berkurangan daripada tujuh K9 yang digunakan pada dua hari pertama yang bermula Jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah K9 akan ditambah mengikut peringkat sebanyak empat unit lagi pada waktu tengahari.

“Pada hari ini, kita lepaskan dulu tiga K9 sebelum ditambah kepada empat unit lagi pada waktu tengahari.

“Ini bagi membolehkan penggiliran tugas dibuat selepas K9 ini bekerja dua hari tanpa rehat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 DISEMBER 2022.

“Pada masa sama, kita juga perlu mementingkan keselamatan K9 yang berada di kawasan jentera sedang beroperasi dan berlakunya peralihan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah. – MalaysiaGazette