KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa sidang Parlimen untuk membahaskan situasi banjir yang semakin membimbangkan di Kelantan dan Terengganu.
Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang bakal melanda tujuh negeri.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, selain usul undi percaya kepada Perdana Menteri, usul khas berkaitan banjir di bawah Peraturan Mesyuarat 18, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat juga perlu dibentang dan dibincangkan oleh anggota Dewan Rakyat.
“Perbahasan turut meliputi kesiapsiagaan jentera kerajaan mendepani banjir, serta penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.
“Lebih utama adalah perancangan dalam menangani impak perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, ABIM turut menggesa seluruh pihak khususnya ahli politik untuk mengenepikan kepentingan politik kepartian.
Sebaliknya bersama-sama membantu menstabilkan situasi politik semasa serta memberi fokus membantu meringankan bebanan rakyat.
Dalam pada itu, ABIM turut mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang berkampung di ‘ground zero’ Batang Kali untuk bertungkus lumus dalam menjayakan misi SAR (Mencari dan Menyelamat).
“ABIM turut mendoakan agar seluruh keluarga mangsa tragedi Batang Kali ini diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah besar yang tidak diduga ini,” katanya. -MalaysiaGazette